Isnin, 10 Jun 2013

URUTAN RANGSANG BAYI

Sentuhan dan belaian mempunyai kuasa magis kerana ia dapat mempengaruhi perkembangan positif terhadap emosi dan psikologi bayi yang diurut.
Amalan urutan dan sentuhan daripada ibu boleh menjadi perangsang kepada perkembangan psikologi dan tumbesaran bayi.
Urutan muncul sebagai rawatan alternatif terbaik memberi perlindungan awal bayi daripada jangkitan. Bahkan ia juga terapi berkesan membantu merangsang perkembangan bayi pra matang.
Kajian ke atas bayi pra matang yang diberikan urutan pada kepala, bahu, belakang badan, kaki dan tangan selama lima minit tiga kali sehari menunjukkan pertambahan berat badan antara 21 hingga 47 peratus seterusnya membolehkan mereka keluar dari hospital lebih awal.
 
Antara faedah yang diperoleh oleh bayi yang diurut adalah seperti berikut:
 
1. Membantu pembesaran fizikal bayi.
2. Menguatkan ketahanan tubuh badan.
3. Membina keyakinan diri.
4. Membantu bayi berasa tenang dan selesa.
5. Mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan ayah.
 
Sebelum memulakan urutan pada bayi pastikan anda berdua benar-benar bersedia untuk mengurut dan diurut.
 
Beberapa langkah berikut boleh digunakan sebagai panduan berguna.
 
a. Pastikan anda selesa dan tidak diganggu selama 15 minit. Mainkan muzik yang berentak perlahan untuk memberi ketenangan dan kedamaian kepada ibu dan bayi.
b. Pastikan keadaan bilik berhawa sederhana hangat sepanjang waktu mengurut. Bentangkan selimut atau kain yang lembut untuk membaringkan bayi.
c. Urutan paling sempurna dapat dilakukan jika bayi berkeadaan tidak berbaju dan berseluar, sebaik-baiknya selepas mandi.
d. Penggunaan minyak bayi yang lembut boleh mengurangkan geseran ke atas kulit bayi. Gosok kedua-dua belah tangan untuk memanaskan tangan sebelum menyentuh bayi. Sapukan minyak secukupnya di tangan supaya boleh mengurut dengan lebih mudah.
e. Mulakan dengan sentuhan yang lembut. Tambahkan tekanan secara perlahan-lahan apabila yakin bayi kelihatan selesa.
f. Pandang mata bayi, menyanyi atau bercakap dengannya sambil mengurut.
g. Seelok-eloknya masa mengurut adalah sama setiap hari agar bayi dapat merasainya sebagai satu rutin.
h. Disarankan bermula dari kepala hingga ke hujung kaki, kemudian baru beralih ke bahagian belakang kaki.
 
Sumber : Pa & Ma

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search