Ahad, 19 Mei 2013

PENYUSUAN PERTAMA SELEPAS KELAHIRAN



Panduan Bagi Ibu-Ibu yang memilih Penyusuan Susu Ibu selepas kelahiran

Selepas sahaja bersalin, letakkan bayi anda ke dada atau di atas perut anda, bersentuhan kulit ke kulit. Bayi sebenarnya sangat peka terhadap persekitarannya selepas dilahirkan, dan mereka juga selalunya lapar. Penyusuan pertamanya boleh diberi dalam masa 30 minit hingga sejam selepas dilahirkan. Susu manusia yang awal memberi perlindungan yang baik terhadap sebarang jangkitan.

Susu ibu dapat membekalkan zat-zat makanan atau nutrien kepada bayi untuk mencegah paras gula yang rendah di dalam darah. Rasa awal susu yang dihisap itu akan merangsang bayi untuk menyusu dengan lebih baik pada masa akan datang.

Jika anda bersalin dengan normal, anda boleh menyusukan bayi di katil atau di atas kerusi dengan cara seperti berikut:
  •  Berbaring mengiring dengan bayi menghadap anda.
  • Dukung bayi dengan kepalanya berada di atas lengan anda. Sokong dengan lembut belakang badan dan punggung bayi.
  • Ketika menyusukan bayi dengan cara ini, pastikan keseluruhan tubuh bayi menghala ke badan anda dan bukan ke arah siling.
Jika anda melahirkan anak melalui pembedahan Caesarean, anda bolehlah menyusu seperti berikut:
  • Duduk dan letakkan satu atau dua biji bantal tambahan untuk menyokong bayi dan melindungi luka pembedahan anda.
  • Berbaring mengiring dengan bayi menghadap anda.
  • Gunakan teknik kedudukan mengiring dan pastikan anda sentiasa dalam keadaan selesa.
Jangan merasa malu untuk mendapatkan pertolongan semasa mula menyusu kali pertama. Anda perlu melalui beberapa sesi penyusuan sebelum dapat menguasai kemahiran ini.

Tinggal sebilik dengan bayi anda (Rooming-in)

Apabila bayi diletakkan bersama-sama anda dalam satu bilik selepas bersalin, ia memberikan banyak masa dan peluang untuk anda berlatih menyusukannya. Amalan tinggal bersama bayi ini telah terbukti boleh menyumbang kepada kejayaan sesuatu penyusuan. Jika anda menghadapi kesukaran, berjumpalah penasihat penyusuan atau jururawat. Semasa berada di hospital, anda perlu memaklumkan jururawat atau bidan supaya tidak memberi makanan lain (susu formula atau air) atau puting sedut kepada bayi anda. Susu formula dan air tidak perlu diberi. Ia boleh mengelirukan bayi kerana bayi sedang belajar menyusu susu ibunya.

Menyusu bayi lebih awal dan kerap

Bayi anda perlu disusukan sekurang-kurangnya setiap 2 hingga 3 jam. Menyusu bayi lebih awal dan kerap dapat menbantu melembutkan payu dara dan memudahkannya untuk dipegang. Ia juga membantu mengurang atau mencegah payu dara dari membengkak. Awasi tanda-tanda bayi lapar seperti bunyi menghisap atau pergerakan bibir, pergerakan mata yang cepat ketika tidur dan perubahan riak wajahnya.
Cuba ramalkan rasa lapar bayi anda melalui tanda-tanda ini. Menyusu berpandukan isyarat ini membantu menghasilkan lebih banyak susu. Lebih kerap bayi anda menyusu lebih banyak susu akan dihasilkan. Konsep asas penyusuan iaitu " SUPPLY & DEMAND ". Lebih kerap payudara di kosongkan maka lebih banyak susu dihasilkan". Melalui konsep ini signal akan dihantar ke otak untuk menghasilkan lebih bayak susu kerana adanya permintaan dari bayi anda.

Bagaimana saya perlu menjaga payudara saya semasa menyusukan bayi?

Menjelang hari ketiga atau keempat penyusuan , susu anda akan bertukar dari kolostrum kepada susu yang kelihatan seperti susu skim. Payudara akan bertukar dari lembut kepada pejal. Jika puting meleleh, gunakan pad atau sapu tangan yang bersih, masukkan ke dalam coli untuk menyerap susu yang meleleh. Pastikan ia ditukar selalu. Jangan menggunakan pad plastik kerana ia menghalang peredaran udara di sekeliling puting. Semasa menyusu, lapkan puting. Ini akan mengurangkan rasa gatal dan kerengsaan. Anda boleh perah sedikit kolostrum dan sapukannya ke puting atau gunakan susu atau lanolin untuk mengelaknya dari kekeringan.

Melekap

Menyentuh puting anda ke tengah bibir bayi akan merangsang bayi untuk membuka mulutnya dengan luas. Apabila keadaan ini berlaku, cepat-cepat tarik bayi terus ke puting dan areola anda. Ingat bahawa apabila bayi telah melekap pada payudara anda, puting dan sebahagian besar kawasan areola sepatutnya berada di dalam mulutnya. Bibir dan gusi bayi seharusnya berada di sekeliling areola dan bukannya di atas puting. Ini menunjukkan betapa pentingnya bayi membuka mulut dengan luas. Anda boleh membantu bayi untuk melekap bibirnya ke payudara anda. Letakkan jari penunjuk di bawah payu dara dan ibu jari di bahagian atas (di belakang areola). Pastikan kedudukan bayi anda betul-betul di paras payudara anda. Pastikan juga jari anda jauh dari areola supaya ia tidak menghalang bayi melekapkan mulutnya ke payudara. Kali pertama bayi menghisap anda akan terasa tarikan/sentakan pada payudara. Jika anda terasa sakit, seperti dicubit kemungkinan bayi salah melekap. Masukkan jari anda di penjuru mulut bayi untuk membuka lekapan, betulkan kedudukan bayi dan cuba sekali lagi. Ia mungkin memerlukan beberapa percubaan. Jika puting anda tidak luka atau bermasalah, penyusuan tidak sepatutnya menyakitkan. Jika sakit, pelekapan mulut bayi mungkin tidak betul dan anda perlu memperbetulkannya semula.




Kedudukan lekapan adalah sangat penting kerana ia:

• Memudahkan pengaliran susu
• Mengelak puting dari membengkak.
• Memuaskan kehendak bayi anda.
• Merangsang bekalan susu yang banyak.
• Menolong mencegah payu dara dari terlalu penuh (menjadi bengkak).



Bayi menggunakan bibir, gusi dan lidah untuk menghisap susu keluar dari payu dara. Proses ini dikenali sebagai penyusuan. Dengan hanya menghisap putting, susu tidak akan keluar sebaliknya ia boleh menyebabkan puting terasa sakit. Kebanyakan bayi akan menghisap dengan aktif sekali jika mereka lapar dan berada pada kedudukan yang betul.

Untuk beberapa minggu pertama selepas kelahiran sehingga mencapai umur 4 bulan, bayi yang diberi susu ibu tidak sepatutnya diberikan makanan lain (air, air gula, susu formula dan sebagainya) melainkan atas sebab-sebab perubatan. Bayi yang disusukan secara berkala dan dengan berkesan akan mendapat segala bekalan zat-zat makanan atau nutrien dan air dari susu ibunya. Sesetengah pengkaji mendakwa jika botol dan puting sedut diberikan kepada bayi ia boleh menyebabkan bayi kekeliruan puting dan ini mengganggu proses penyusuan susu ibu.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search