Pra-eklampsia
Hipertensi dan protinuria (kehadiran protein di dalam air kencing)
adalah tanda-tanda utama kejadian pra-eklampsia. Protinuria semasa
mengandung boleh disebabkan oleh jangkitan kuman pada saluran air
kencing (urinary tract infection), tetapi ia mungkin kejadian
pre-eklampsia walaupun tekanan darah adalah tinggi sedikit dari aras
normal. Tanda-tanda pre-eklampsia (dan juga eklampsia) mungkin timbul
sebelum, semasa dan juga selepas bersalin.
Wanita-wanita hamil mungkin mendapat sakit kepala, gangguan
penglihatan, sakit di bahagian perut, loya, muntah, atau odema (bengkak,
terutamanya di bahagian kaki). Malangnya, kebanyakan wanita hamil tidak
mengalami sebarang gejala, menjadikan penyakit ini sukar dinilai secara
klinikal. Wanita-wanita hamil perlu diberikan pendidikan kesihatan
untuk mengenali tanda-tanda awal pra-eklampsia dan seterusnya mengambil
langkah awal untuk mendapatkan rawatan. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa
rawatan rapi, ia boleh melarat menjadi eklampsia atau sawan,
memudaratkan ibu mengandung dan juga janin. Pra-eklampsia menyebabkan
kerosakan pada buah pinggang dan masalah pembekuan darah, diikuti
kejadian placenta abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari
rahim dan menyebabkan pendarahan). Sebab utama kematian penghidap
pra-eklampsia adalah pendarahan dalam otak dan masalah pernafasan yang
serius (adult respiratory syndrome). Janin pula boleh mengalami kelemasa
(masalah pernafasan), pembantutan tumbesaran dan kematian.
Eklampsia
Eklampsia adalah satu masalah kesihatan di mana pesakit yang mengalami
gejala-gejala pra-eklampsia (seperti di atas) turut mengalami sawan.
Lain-lain penyebab sawan seperti epilepsy, ketidakseimbangan biokimia
dalam tubuh badan atau hipoglisemia (kurang gula dalam darah). Perlu
disahkan bukan penyebab sawan sebelum eklampsia didiagnosa. Terdapat
juga situasi di mana pra-eklampsia tidak menunjukkan tanda klinikal yang
jelas dan diagnosis hanya boleh dilakukan selepas eklampsia terjadi.
Lebih dari satu pertiga daripada wanita yang hamil mengalami episod
sawan yang pertama sebelum kejadian tekanan darah tinggi dan protinuria.
Remaja hamil berisiko lebih 3 kali ganda mengalami eklampsia berbanding
wanita dewasa. Komplikasi akibat eklampsia termasuklah angin ahmar
(strok) disebabkan oleh pengecutan salur darah atau edema (kebengkakan)
di bahagian otak. Komplikasi ini lazimnya akan kembali normal dengan
sendirinya, namun ada di kalangan wanita ini yang mengalami kerosakan
otak yang kekal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan