"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan
dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan
kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Aku-lah tempat kembalimu." (Surah
Luqman, ayat 14)
Air susu ibu ialah satu sebatian tiada tandingan yang diciptakan oleh
Allah demi memenuhi keperluan nutrisi bayi dan melindunginya daripada
sebarang jangkitan. Keseimbangan makanan berkhasiat dalam air susu ibu
adalah pada kadar yang tepat dan bersesuaian dengan tubuh bayi yang
belum matang.
Pada masa yang sama, air susu ibu juga kaya dengan nutrien yang
mempercepat pertumbuhan sel-sel otak dan perkembangan sistem saraf.
Makanan buatan untuk bayi yang disediakan dengan bantuan teknologi masa
kini tidak dapat menggantikan makanan ajaib ini.
Memantapkan Sistem Imunisasi
Senarai manfaat air susu ibu kepada bayi bertambah setiap hari.
Kajian menunjukkan bahawa bayi-bayi yang diberi minum air susu ibu
terlindung daripada penyakit berkaitan sistem pernafasan dan
penghadaman. Ini kerana antibodi-antibodi yang terdapat di dalam air
susu ibu menyediakan satu perlindungan langsung daripada jangkitan.
Sifat anti-infeksi lain air susu ibu adalah menyediakan satu
persekitaran sesuai untuk bakteria "bermanfaat" yang dipanggil sebagai
"flora normal" sekaligus menangkis serangan bakteria, virus dan parasit
berbahaya. Tambahan pula, didapati bahawa terdapat beberapa unsur di
dalam air susu ibu yang mengawal sistem imunisasi terhadap penyakit
berjangkit dan membolehkannya berfungsi dengan lebih teratur.
Kaya Dengan Nutrisi
Oleh kerana air susu ibu telah direka secara khusus, ia merupakan
makanan yang paling mudah dihadam oleh bayi. Selain kaya dengan nutrisi,
ia juga mudah dihadam oleh sistem penghadaman bayi yang sensitif.
Memandangkan bayi menggunakan sedikit sahaja tenaga untuk mencerna air
susu ibu, maka tenaga selebihnya dapat disalurkan untuk fungsi tubuh
yang lain, pertumbuhan dan perkembangan organ.
Air susu ibu yang mempunyai bayi pra-matang mengandungi tahap zat
lemak, protein, natrium, klorida dan besi yang lebih tinggi untuk
menampung keperluan bayi. Ianya telah dibuktikan bahawa fungsi mata bayi
pra-matang yang diberi minum air susu ibu adalah lebih baik dan lebih
cemerlang dalam ujian kecerdasan. Tambahan pula, mereka turut memiliki
banyak kelebihan lain.
Omega-3
Kandungan minyak omega-3 asid alfa linoleat menjadikan air susu ibu
penting untuk perkembangan bayi. Selain menjadi sebatian penting untuk
otak dan retina manusia, ia juga amat mustahak bagi bayi-bayi yang baru
dilahirkan. Omega-3 secara khusus penting sepanjang masa kehamilan dan
peringkat awal usia bayi demi perkembangan otak dan saraf yang normal.
Ramai saintis menegaskan kepentingan air susu ibu terutamanya sebagai
satu sumber omega-3 semulajadi dan sempurna.
Mengurangkan Risiko Sakit Jantung
Selain daripada itu, kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis
Universiti Bristol, United Kingdom mendapati bahawa antara kebaikan
jangka panjang air susu ibu adalah kesan positifnya terhadap tekanan
darah, yang mana ia dapat mengurangkan risiko serangan jantung. Kumpulan
penyelidik tersebut menyimpulkan bahawa sifat perlindungan yang
terdapat di dalam air susu ibu disebabkan oleh kandungan nutrisinya.
Menurut hasil kajiannya yang diterbitkan dalam jurnal perubatan
Circulation, bayi yang diberi minum air susu ibu kurang berisiko
menghidap penyakit jantung.
Kehadiran rantaian panjang asid lemak poli tidak tepu
(polyunsaturated fatty acids) dalam air susu ibu (untuk mencegah
pengerasan arteri) dan hakikat bahawa bayi yang diberi minum air susu
ibu menggunakan sedikit natrium (berkait rapat dengan tekanan darah)
serta tidak mengalami pertambahan berat badan berlebihan merupakan
antara cara air susu ibu memberi manfaat kepada jantung.
Sebagai tambahan, satu pasukan diketuai oleh Dr. Lisa Martin, dari
Pusat Perubatan Hospital Kanak-kanak Cincinnati di Amerika, telah
menemui kadar kandungan hormon protein (adiponectin) yang tinggi dalam
air susu ibu.
Kandungan adiponectin yang tinggi dalam darah dikaitkan dengan
kurangnya risiko serangan jantung. Tahap adiponectin yang rendah ditemui
pada orang yang mengalami kegemukan dan berisiko tinggi mengalami
serangan penyakit jantung. Maka disepakati bahawa bayi yang diberi air
susu ibu mempunyai risiko kegemukan yang rendah dengan kehadiran hormon
ini.
Tambahan pula, mereka juga menemui sejenis hormon yang dipanggil
sebagai leptin dalam air susu ibu yang mempunyai peranan utama dalam
metabolisme lemak. Leptin dipercayai berfungsi menyampaikan isyarat
kepada otak bahawa terdapat lemak pada tubuh. Berdasarkan pendedahan Dr.
Martin, hormon-hormon yang diserap semasa peringkat bayi melalui air
susu ibu dapat menurunkan risiko pelbagai penyakit seperti obesiti,
diabetes tahap dua dan daya tahan insulin, serta penyakit jantung
koronari.
Fakta tentang "Makanan Tersegar"
Fakta-fakta tentang air susu ibu tidak tamat di sini. Sumbangannya
terhadap kesihatan bayi berkembang mengikut fasa pertumbuhan bayi dan
kandungannya berubah demi memenuhi keperluan nutrisi bayi mengikut
peringkat-peringkat tertentu. Unsur gula dan lemak dalam air susu ibu,
yang sentiasa tersedia dan pada suhu yang sesuai, memainkan peranan
penting dalam perkembangan otak. Tambahan pula, elemen lain seperti
kalsium turut memberi sumbangan dalam perkembangan tulang-tulang bayi.
Meskipun dinamakan susu, namun sebahagian besar sebatian ajaib ini
sebenarnya terdiri daripada air. Ini merupakan ciri terpenting kerana
selain daripada makanan, bayi juga memerlukan cairan dalam bentuk air.
Kebersihan sepenuhnya tidak mungkin didapati dalam air atau bahan
makanan selain daripada air susu ibu. Namun air susu ibu yang merangkumi
90% air dan tidak kurang, memenuhi keperluan air bayi dalam cara yang
paling bersih dan sihat.
Susu Ibu dan Kecerdasan
Kajian saintifik membuktikan bahawa pembangunan kognitif di kalangan
bayi-bayi yang diberi air susu ibu adalah lebih hebat berbanding bayi
lain. Satu analisis perbandingan berkaitan dengan bayi yang diberi air
susu ibu dan bayi yang diberi susu formula oleh James W.
Anderson—seorang pakar dari Universiti Kentucky—mendapati bahawa minda
bayi yang diberi minum air susu ibu adalah lima kali lebih tinggi
berbanding dengan bayi lain. Hasil daripada kajian ini, didapati bahawa
kecerdasan diperoleh daripada air susu ibu sehingga enam bulan, dan bayi
yang disusui kurang daripada lapan minggu tidak menunjukkan sebarang
kesan dari segi kecerdasan minda.
Benarkah Air Susu Ibu Menentang Kanser?
Hasil daripada kesemua kajian yang dijalankan, terbukti bahawa air
susu ibu, yang ratusan penulisan mengenainya telah diterbitkan,
melindungi bayi daripada kanser. Hakikat ini telah diketahui meskipun
mekanismenya belum difahami sepenuhnya. Sewaktu sebuah protein dari air
susu ibu membunuh sel-sel tumor yang dibiakkan dalam makmal tanpa
merosakkan sebarang sel sihat, para pengkaji menyatakan bahawa satu
potensi yang hebat telah ditemui.
Catharina Svanborg, seorang profesor imunologi klinikal Universiti
Lund di Sweden, ialah ketua kumpulan peneliti yang menemui rahsia ajaib
air susu ibu ini. Pasukan tersebut menerangkan keupayaan air susu ibu
dalam menyediakan perlindungan terhadap pelbagai bentuk kanser sebagai
satu penemuan yang menakjubkan.
Pada mulanya, para peneliti mengkaji sel-sel lendir usus yang diambil
daripada bayi-bayi yang bari dilahirkan dengan air susu ibu. Mereka
mendapati bahawa penyakit pneumonia yang diakibatkan oleh bakteria
Pneumococcus dapat dihentikan dengan berkesan oleh air susu ibu. Bahkan
bayi yang diberi air susu ibu amat kurang mengalami masalah pendengaran
berbanding bayi yang diberi minum susu formula dan risiko jangkitan
penyakit pernafasan yang terlalu rendah.
Selepas beberapa siri penyelidikan, didapati bahawa air susu ibu juga
memberi perlindungan terhadap kanser. Setelah menunjukkan bahawa kanser
limfa di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula semasa fasa
kanak-kanak berlaku sembilan kali ganda, mereka menyedari bahawa hasil
yang sama juga berlaku untuk pelbagai jenis kanser yang lain.
Berdasarkan keputusan tersebut, air susu ibu berupaya mengenal pasti
sel-sel kanser secara tepat lalu memusnahkannya. Zat bernama alpha-lac
(alphalactalbumin) yang banyak di dalam air susu ibu menjejak dan
membunuh sel-sel kanser. Alpha-lac dihasilkan oleh sejenis protein yang
membantu pengeluaran gula laktosa dalam air susu ibu.
Rahmat Tiada Bandingan Ini adalah Satu Anugerah dari Allah
Satu lagi ciri menakjubkan air susu ibu adalah hakikat bahawa ia amat
bermanfaat untuk diberi kepada bayi selama dua tahun terawal.
Maklumat penting yang hanya diketahui oleh sains baru-baru ini, telah dinyatakan oleh Allah 14 kurun yang lalu melalui ayat:
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua
tahun genap, iaitu bagi orang yang menyempurnakan penyusuan itu; ..."
(Surah Al-Baqarah, ayat 233)
Si ibu tidak merancang untuk menghasilkan air susu ibu, sumber
khasiat terbaik untuk bayi tidak berdaya yang memerlukan makanan dalam
kandungannya, serta tidak menentukan tahap pelbagai nutrisi di dalamnya.
Allah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui keperluan setiap makhluk
dan mengasihi mereka, Yang menciptakan air susu ibu untuk bayi di dalam
tubuh si ibu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan