dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharam
juga merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak peristiwa
yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah
kepada makhluk-nya.
Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan mujizat kepada Nabi-Nabi-nya
sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah kurnianya yang
terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambanya. Sebagai tanda
kesyukuran kepadanya, maka hamba-hambanya mempersembahkan ibadah
mereka (antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah,
namun dengan itu, masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah yang
sungguh bernilai.
Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru
berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada
hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi
tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, "Hari ini Allah
memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka
kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi saw:
"Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu."
Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa. Antara lain
kelebihan 10 Muharam ialah barangsiapa yang melapangkan rezeki pada
keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun ini.
Terdapat juga sebuah hadis meriwayatkan, "Barangsiapa yang berpuasa
pada hari Asyura, maka dapat menebus dosa satu tahun." Maksud hadis
ini ialah hari yang kesepuluh Muharam (Asyura) merupakan hari dan
bulan kemuliaan kerana pada sesiapa yang berpuasa pada hari inilah,
Allah membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka yang lampau.
Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa kerana
banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping
ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan
ini sepertimana terdapat dalam satu hadis.
"Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah akan
memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat dan juga akan diberi
pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang
mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari
Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu
darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad saw
dan mengenyangkan perut mereka."
Sahabat pun bertanya, "Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari
Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari." Jawab
Rasulullah, "benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari
Asyura, dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan
laut pada hari Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari
Asyura dan juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura, dan
menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke syurga pada
hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan
menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub. Pada hari Asyura juga Allah
memberi taubat kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga
kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura dan kiamat akan
terjadi pada hari Asyura."
Maka pada hari itu ( 10 Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa
kerana bersyukur kepada Allah kerana hari itu merupakan hari taubat
mereka diterima oleh Allah setelah beratus-ratus tahun lamanya
memohon keampunan.
Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islam yang telah
sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka
diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini
mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya
Firaun, Haman, Qarun dan istana mereka bererti berakhirlah sudah
kezaliman musuh-musuh Allah buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi
Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan, maka mereka
berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt.
Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10 Muharam ini, di mana
pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi dengan sepuluh
kehormatan.
1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada
Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah
menerima taubat Nabi Adam. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi
Adam a.s.
2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke
langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.
3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s
kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga
termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari banjir
tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini
merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini
sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu,
mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh a.s.
4. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai
Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda
diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim
diberi penghormatan dengan Allah memerintahkan kepada api supaya
menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. Maka terselamatlah
Nabi Ibrahim dari angkara kekejaman Namrud.
5. Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud
kerana Nabi Daud merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri
sudah ada 99 orang isteri, masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana
Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka Allah
turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan
menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah Nabi Daud
atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan
kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.
6. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke
langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini
merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum
Bani Israil.
7. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam
daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat
yang dapat menjadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir
dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan
terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun dan tenteranya. Maka
tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah
kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s
8. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun
serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka.
10 Muharam, merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.
9. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan
setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan
hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun
menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan
kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan
Nun.
10. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada
10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda.
Dengan itu, mereka berpuasa dan beribadah kepada Allah sebagai
tanda kesyukuran kepada Allah swt. Nabi saw telah bersabda dengan
maksudnya:
"Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa sebagai perintah
wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa yang suka
berpuasa, maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang tidak sukar boleh
meninggalkannya."
Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa pada hari Asyura ini
sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka
diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya
adalah sunat.