Memaparkan catatan dengan label Bayi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bayi. Papar semua catatan

Ahad, 14 Julai 2013

INFO: MENYUSUKAN ANAK SEMASA BERPUASA

Perlukah saya berpuasa semasa menyusu badan?

Jika anda menyusu badan, anda tidak diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Kebanyakan sarjana Islam percaya bahawa wanita yang menyusukan, seperti juga wanita yang tidak sihat atau sedang bermusafir, dibenarkan untuk tidak berpuasa. Malah, ramai yang mengatakan adalah salah untuk tidak menghiraukan kelonggaran ini dengan berpuasa jika anda tidak perlu berbuat begitu.

Namun begitu, keputusan samada hendak berpuasa atau tidak bergantung kepada beberapa perkara, dan usia bayi adalah pertimbangan utama. Memang ada perbezaan di antara bayi yang masih kecil dan hanya menyusu, dengan bayi berusia satu tahun yang sihat dan sudah makan makanan lain dan menyusu hanya pada waktu malam. Berbincanglah dengan ibu-ibu lain dalam keluarga anda mengenai apa yang mereka lakukan dan pengalaman mereka dalam hal itu. Hubungi doktor, perunding penyusuan atau ahli agama untuk mendapat lebih keyakinan dalam membuat keputusan.

Adakah berpuasa semasa menyusukan akan membahayakan bayi saya?

Tidak. Berpuasa tidak membahayakan bayi kerana badan anda masih boleh menghasilkan susu semasa anda berpuasa. Kurang pengambilan kalori sepatutnya tidak menjejaskan jumlah susu yang dihasilkan.

Malah, walaupun wanita yang menyusu badan itu tidak makan apa-apa selama 24 jam, ia masih tidak menjejaskan kuantiti dan nilai nutrisi susu mereka. Jika terdapat kesan berpuasa terhadap badan anda, anda pasti sudah merasainya terlebih dahulu dan tentu sekali anda perlu menghentikan puasa sebelum kesan itu menjejaskan penghasilan susu.

Adakah perubahan dalam susu badan akan memberi kesan ke atas bayi saya?

Perubahan dalam susu badan anda tidak akan memberi kesan ke atas bayi. Dia sudahpun dapat menerima perubahan-perubahan kecil pada susu anda bergantung kepada apa yang anda makan dan berapa banyak dia perlu menyusu. Kajian menunjukkan bahawa walaupun si ibu berpuasa selama 24 jam, kandungan lemak dalam susunya tidak akan berubah.

Jika anda makan terlalu sedikit dan berat badan mula turun, jenis lemak dalam susu anda mungkin berubah, tetapi jumlahnya tidak berubah. Walaupun payudara itu sendiri boleh menghasilkan lemak susu, jenis-jenis lemak yang lain akan diperolehi daripada simpanan lemak dalam badan anda sekiranya ia tidak diperolehi melalui pemakanan anda.

Adakah berpuasa semasa menyusukan membahayakan saya?

Badan anda biasanya dapat bertahan jika anda berpuasa. Dalam satu kajian, ujian darah dilakukan terhadap sekumpulan kecil wanita yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Wanita yang menyusu badan didapati mempunyai imbangan kimia dalam darah yang agak sama dengan mereka yang tidak menyusu badan atau yang sedang hamil.

Walau bagaimanapun, menyusu badan membuatkan anda sangat dahaga. Jika anda ternyahhidrat, anda akan rasa tidak sihat. Anda boleh mengagak bahawa anda sedang ternyahhidrat apabila:
  • anda rasa sangat dahaga;
  • air kencing anda berwarna gelap dan berbau kuat;
  • anda rasa seperti hendak pitam, lemah atau lesu;
  • anda mula sakit kepala atau mengalami kesakitan lain.
Jika anda mula sedar akan tanda-tanda ini, anda harus berbuka dengan meminum air dan berehat. Selepas setengah jam, jika anda masih rasa tidak sihat, hubungilah doktor anda.

Minum banyak air semasa berbuka dan terutamanya semasa sahur. Ahli panel pakar BabyCenter dan kaunselor penyusuan badan, Jennifer Hor, menyarankan anda makan makanan yang mempunyai indeks glicemik (glycemic index - GI) yang rendah. GI ialah unit pengiraan bagi kesan karbohidrat pada tahap gula dalam darah. Karbohidrat yang terurai dengan cepat semasa penghadaman mempunyai GI yang tinggi manakala karbohidrat yang terurai lebih lambat dan melepaskan glukosa secara beransur-ansur ke dalam darah mempunyai GI yang rendah. Makanan yang rendah GI termasuk banyak jenis sayur-sayuran dan kekacang, kacang pis, mi dan nasi.

Jangan sekadar minum sahaja. Penting untuk anda mendapatkan nutrien, kalori dan serat daripada makanan. Jika sukar untuk anda makan secukupnya pada waktu malam dan anda berat badan anda mula turun, bincanglah dengan doktor anda. Anda juga mungkin perlu untuk tidak berpuasa.

Walau bagaimanapun, jika anda sihat dan tidak kisah berat badan anda turun sedikit, penurunan sehingga 1kg seminggu sepanjang bulan Ramadan sepatutnya tidak menjejaskan penghasilan susu.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan sebarang masalah?

Membuat persiapan untuk berpuasa boleh membantu anda mengelakkan masalah-masalah yang mungkin berlaku:
  • Beli barang keperluan dan buat kerja-kerja rumah yang lebih berat sebelum anda mula berpuasa.
  • Simpan diari makanan supaya anda boleh memastikan anda makan dan minum dengan cukup pada waktu malam.
  • Berehat dan duduk di tempat sejuk sebanyak mungkin pada waktu siang.

Bilakah saya harus meminta bantuan?

Jika anda mula rasa tidak sihat atau mula ternyahhidrat, hubungilah doktor anda. Jika anda bimbang samada bayi anda mendapat susu yang cukup ataupun tidak, dapatkanlah nasihat daripada doktor atau pakar kanak-kanak. Tanda-tanda bayi tidak mendapat cukup susu termasuk:
  • kurang membuang air (bayi baru lahir sepatutnya buang air kecil beberapa kali sehari);
  • najis berwarna kehijauan;
  • tangisan yang nyaring dan berpanjangan atau kerap meragam;
  • turun berat badan atau berat badan tidak bertambah.
Jika masalah penyusuan badan berlaku, hubungilah kaunselor penyusuan badan atau penasihat laktasi. Mungkin ada seorang di hospital berdekatan anda, atau tanyalah doktor anda jika beliau boleh mencadangkan seseorang. Anda juga boleh mencari sumber tambahan dalam Direktori Penyusuan Badan A-Z kami.

Berbuallah dengan ibu-ibu lain yang turut menyusu badan! Anda boleh jumpa mereka hari ini dalam forum Komuniti kami.

Sabtu, 22 Jun 2013

Cara Menyimpan Susu Perahan


Untuk menyimpan susu badan, pilih bekas yang disterilkan dan bertutup dengan rapat. Beg sejuk khas untuk pembekuan susu badan boleh dibeli untuk menyimpan susu anda tetapi selalunya ia mudah bocor, koyak dan berlubang, dan mungkin tidak bertutup rapat. Walau bagaimanapun, Perunding Laktasi dan Pengerusi Pesatuan Ibu-ibu Menyusu UK, berkata: "Pilih beg sejuk beku yang tebal atau bahagian luarnya diperbuat daripada nilon dan semuanya akan OK. Satu lagi cara ialah menggunakan dua lapis beg." Namun begitu, gelas atau plastik keras adalah pilihan yang lebih baik untuk menyimpan susu bagi tempoh yang lama. 



Anda mungkin telah menjumpai banyak garis panduan yang berlainan mengenai tempoh dan tempat anda boleh menyimpan susu badan (EBM - expressed breastmilk). Persatuan Simpanan Susu UK menjelaskan bahawa ini ialah disebabkan kumpulan kajian yang berlainan telah memfokuskan ke atas aspek simpanan susu yang tertentu yang mana telah dibentangkan berkaitan kajian tertentu, dan bukanlah bermakna garis panduan itu adalah salah. Beberapa garis panduan disasarkan kepada susu yang disimpan dalam keadaan steril dalam tabung susu; ada yang lain hanyalah relevan jika anda mempunyai bayi pramatang. Secara am, garis panduan yang berikut berasaskan kajian yang diperolehi dari UK’s Association of Breastfeeding Mothers (ABM) dan sesuai bagi ibu yang menyimpan susu di rumah untuk bayi yang sihat dan cukup terma.

Anda boleh menyimpan susu:

• Pada suhu bilik – tidak melebihi daripada 77 darjah F/25 darjah C – selama empat jam.

• Dalam peti ais bersuhu 39 darjah F/4 darjah C atau lebih rendah selama tiga hingga lima hari. Walau bagaimanapun, disebabkan kegunaan peti ais di Malaysia adalah lebih berat oleh kerana peti ais banyak digunakan untuk menyimpan item segar, maka, satu nasihat am ialah supaya menyimpan susu badan yang dipam tidak melebihi 24 jam.

• Dalam peti sejuk beku bersuhu -20°C, yang tidak mempunyai kitar nyahbeku, selama enam hingga 12 bulan. Malah, di Malaysia, pakar-pakar selalunya menyarankan supaya menyimpan susu dalam peti sejuk beku hanya selama tiga hingga enam bulan jika suhu peti sejuk beku anda disetkan tidak melebihi negatif 18 darjah Centigrade. Simpanlah susu di bahagian belakang peti sejuk beku, jauh dari pintu sebab item yang disimpan di hadapan lebih mudah terjejas dengan perubahan suhu semasa anda membuka peti sejuk beku.

Sebagai tambahan kepada garis panduan dari ABM, elok juga bagi anda mengetahui perkara yang berikut:

• Anda boleh mencampurkan susu yang baru dipam dengan susu beku jika ia didinginkan dahulu sekurang-kurangnya sejam, dan jumlahnya adalah kurang daripada jumlah susu yang telah beku. Susu segar mengekalkan lebih banyak ciri-ciri perlindungannya berbanding dengan susu beku, jadi sejauh mana yang boleh, gunakan susu yang disejukkan (refrigerated) dan bukan susu beku (frozen) untuk menyusukan bayi anda. Tetapi ingatlah bahawa susu badan yang dibekukan masih mempunyai lebih khasiat kesihatan daripada susu formula.

• Jika anda akan membekukan susu badan, lakukannya dalam masa 24 jam.

• Susu yang dialihkan dari peti sejuk beku ke peti ais boleh disimpan sehingga 24 jam.

Ingatlah, apabila anda mengepam susu, cuci tangan anda dan pastikan pam buah dada dicuci, dibilas dan disterilkan dengan betul untuk mencegah sebarang bakteria dari membiak dalam susu tersebut.



Jumaat, 21 Jun 2013

Pemeriksaan Apgor

Setelah bayi dilahirkan,pemeriksaan pertama atau juga dikenali sebagai apgor dilakukan oleh doktor atau bidan. Ketika pemeriksaan apgor dilakukan doktor atau jururawat akan menimbang berat, ukuran lilitan kepala dan mengukur panjang bayi serta memeriksa keseluruhan anggota badan bayi untuk memastikan bayi sihat dan tidak mengalami sebarang jangkitan penyakit.
Ikuti pemeriksaan seperti berikut :

Ukuran lilitan kepala,berat dan panjang. Ketiga-tiga pemeriksaan ini dilakukan sebaik sahaja baik dilahirkan. Ukuran lilitan kepala, tinggi dan berat bayi inilah akan dijadikan pengiraan awal untuk direkodkan dalam carta pembesaran bayi seterusnya.

Kepala
Bahagian kepala bayi diperiksa untuk memastikan tiada bengkak pada tempurung kepala yang mungkin disebabkan oleh penggunaan forsep atau vakum. Dan lihat jika ada tanda kelahiran pada kepala bayi.

Mata
Melakukan pemeriksaan terhadap mata dan kedudukannya untuk memastikan dalam keadaan normal. Dengan menggunakan lampu khas, anak mata disuluh untuk memastikan tiada unsur katarak pada mata bayi.

Telinga Dan Hidung
Bahagian telinga dan hidung diperiksa sepintas lalu untuk memastikan bayi tidak mengalami sebarang jangkitan dan dalam keadaan normal.

Mulut
Mulut bayi diperiksa untuk memastikan bayi tidak mengalami masalah sumbing. Dengan menggunakan spatula mulut bayi dibuka untuk memastikan bayi tidak ada bengkak gusi.

Paru-paru Dan Jantung
Stetoskop digunakan untuk mengesan degupan jantung dan paru-paru bayi. Pemeriksaan ini untuk memastikan bayi bernafas dalam keadaan normal. Pernafasan yang laju memberi tanda bayi mungkin bermasalah.

Jari Dan Kaki
Pemeriksaan keseluruhan kaki dan jari bayi untuk memastikan dalam keadaan normal. Jika ada masalah pada bahagian ini atau kecacatan akan diadakan pemeriksaan lanjut.

Alat Kelamin
Pemeriksaan dilakukan sekitar bahagian alat kelamin bayi supaya ia dalam keadaan normal. Bagi bayi lelaki, pemeriksaan dilakukan pada kedua-dua buah zakar untuk memastikan tiada berlaku bengkak dan pengumpulan lendir pada bahagian itu.

Tindakan Refleks
Melakukan ujian dengan melepaskan tangan bayi untuk memastikan ada tindak balas refleks termasuk genggaman dan gerakan tangannya. Ini untuk memastikan sistem sarafnya berfungsi dengan normal.

Tulang Belakang
Memastikan tulang belakang (vertebra) diperiksa dalam keadaan lurus dan betul. Jika bahagian tulang itu bengkok, mungkin kedudukan tulang tidak betul dan perlukan rawatan susulan.

Isnin, 10 Jun 2013

URUTAN RANGSANG BAYI

Sentuhan dan belaian mempunyai kuasa magis kerana ia dapat mempengaruhi perkembangan positif terhadap emosi dan psikologi bayi yang diurut.
Amalan urutan dan sentuhan daripada ibu boleh menjadi perangsang kepada perkembangan psikologi dan tumbesaran bayi.
Urutan muncul sebagai rawatan alternatif terbaik memberi perlindungan awal bayi daripada jangkitan. Bahkan ia juga terapi berkesan membantu merangsang perkembangan bayi pra matang.
Kajian ke atas bayi pra matang yang diberikan urutan pada kepala, bahu, belakang badan, kaki dan tangan selama lima minit tiga kali sehari menunjukkan pertambahan berat badan antara 21 hingga 47 peratus seterusnya membolehkan mereka keluar dari hospital lebih awal.
 
Antara faedah yang diperoleh oleh bayi yang diurut adalah seperti berikut:
 
1. Membantu pembesaran fizikal bayi.
2. Menguatkan ketahanan tubuh badan.
3. Membina keyakinan diri.
4. Membantu bayi berasa tenang dan selesa.
5. Mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan ayah.
 
Sebelum memulakan urutan pada bayi pastikan anda berdua benar-benar bersedia untuk mengurut dan diurut.
 
Beberapa langkah berikut boleh digunakan sebagai panduan berguna.
 
a. Pastikan anda selesa dan tidak diganggu selama 15 minit. Mainkan muzik yang berentak perlahan untuk memberi ketenangan dan kedamaian kepada ibu dan bayi.
b. Pastikan keadaan bilik berhawa sederhana hangat sepanjang waktu mengurut. Bentangkan selimut atau kain yang lembut untuk membaringkan bayi.
c. Urutan paling sempurna dapat dilakukan jika bayi berkeadaan tidak berbaju dan berseluar, sebaik-baiknya selepas mandi.
d. Penggunaan minyak bayi yang lembut boleh mengurangkan geseran ke atas kulit bayi. Gosok kedua-dua belah tangan untuk memanaskan tangan sebelum menyentuh bayi. Sapukan minyak secukupnya di tangan supaya boleh mengurut dengan lebih mudah.
e. Mulakan dengan sentuhan yang lembut. Tambahkan tekanan secara perlahan-lahan apabila yakin bayi kelihatan selesa.
f. Pandang mata bayi, menyanyi atau bercakap dengannya sambil mengurut.
g. Seelok-eloknya masa mengurut adalah sama setiap hari agar bayi dapat merasainya sebagai satu rutin.
h. Disarankan bermula dari kepala hingga ke hujung kaki, kemudian baru beralih ke bahagian belakang kaki.
 
Sumber : Pa & Ma

Mitos VS Realiti

Tentu papa dan mama biasa diingatkan oleh orang tua-tua tentang pantang larang yang boleh dan tidak boleh dilakukan sejak mengandung hinggalah mempunyai anak.
Kadang kala pening kepala juga dibuatnya sama ada mahu mengikut atau sebaliknya tentang pantang larang tersebut terutama dalam bab membesarkan bayi.
Cuba kita lihat beberapa pantang larang yang biasa diberitahu oleh orang tua-tua tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak dan buat perbandingan daripada sudut pandangan pakar perubatan.
1. Bayi baru lahir perlu dipakaikan barut agar tidak kembung atau rangka dada tidak terlalu menonjol khususnya bayi perempuan.
Penjelasan:Dinding perut bayi masih lagi lemah ketika usia ini. Oleh yang demikian, pastikan barut dipakai pada bahagian perut sahaja dan bukan terus ke dada kerana khuatir perkembangan organ dalaman anak tidak sukar untuk berkembang dengan cepat. Jangan diikat terlalu ketat kerana dikhuatiri bayi tidak selesa. Pemakaian barut boleh membantu mengelakkan tali pusat tidak luka akibat geseran. Barut dapat membantu memanaskan tubuh bayi.
2. Setelah tali pusat tercabut, pusat bayi harus ditindih dengan kepingan syiling atau logam agar pusat tidak menonjol keluar.
Penjelasan:Sebenarnya, kaedah ini tidak perlu dilakukan lebih-lebih lagi jika pusat bayi memang tidak menonjol. Namun, anda boleh mengikut panduan ini jika pusat bayi menonjol asalkan logam terbabit bersih dan disteril.
3. Bayi baru lahir harus dibedung agar kakinya tidak bengkok atau bersilang.
Penjelasan:Sebenarnya, membedung adalah untuk memberikan keselesaan kepada bayi ketika tidur. Sehingga anak berusia enam bulan, anak sering mengalami kejutan refleks. Jadi, jika dibedung, ketika berlaku kejutan refleks ini, bayi akan kurang merasa terkejut. Namun perlu diingat, bedung biasanya membuat peredaran darah anak terganggu. Ini membuatkan jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah. Akibatnya, anak akan kerap sakit terutama di bahagian dada khususnya di sekitar paru-paru atau rongga pernafasan.
4. Tidak elok memandikan bayi selepas jam 3 petang.
Penjelasan:Ibu sebenarnya bebas menentukan masa untuk memandikan bayi. Biasanya, pada bulan-bulan pertama, anak boleh dimandikan antara jam 9.30 hingga 10.00 pagi. Bila usia bayi meningkat, anda boleh memandikan anak antara jam 8.00 hingga 10.00 pagi. Manakala, pada waktu petangnya pula, bergantung pada suhu ketika itu. Paling penting jangan mandikan anak setelah diberi susu kerana selepas minum biasanya anak akan mengantuk dan mahu tidur.
5. Tangan dan kaki bayi tidak perlu selalu ditutup dengan sarung kaki dan tangan.
Penjelasan:Sebenarnya tiada masalah jika tangan dan kaki anak disarungkan terutama ketika suhu dingin. Pemakaian sarung tangan juga perlu untuk mengelakkan berlaku calar akibat terkena kuku. Jika di luar rumah, sebaiknya bayi tidak perlu dipakaikan sarung tangan kerana pemakaian sarung tangan akan membatasi perkembangan deria rasanya.
6. Kuku bayi tidak boleh dipotong sebelum usianya 40 hari.
Penjelasan:Larangan ini mungkin disebabkan khuatir akan melukan kulit jari tangan dan kaki anak. Saiz kuku yang kecil dan nipis memang menyukarkan anda memotong kuku si kecil. Namun, jika dilakukan secara berhati-hati dan menggunakan peralatan yang khusus, kemalangan mungkin dapat dielakkan. Jadi, sebenarnya memotong kuku bayi tidak perlu menunggu sehingga usianya 40 hari asalkan berhati-hati.
7. Anak tidak boleh didukung dengan kaki dikangkangkan kerana khuatir akan terkangkang.
Penjelasan:Tidak benar sama sekali. Tidak menjadi hal jika anak didukung dengan cara ini asalkan kepala dan punggungnya diampu agar tidak jatuh ke belakang. Kaki anak kangkang mungkin disebabkan oleh genetik yang diterima daripada ibu atau ayah.

PENJAGAAN BAYI BARU LAHIR



Bayi yang baru lahir amat sensitif terhadap persekitarannya. Sesetengah bayi memerlukan penjagaan rapi selepas dilahirkan terutamanya bagi yang dilahirkan pramatang. Bayi pramatang memerlukan penjagaan khusus untuk memastikannya membesar seperti bayi normal. Kebiasaannya, ada beberapa perkara yang anda perlu ketahui tentang penjagaan bayi baru lahir.
Ketika baru dilahirkan, sistem tubuh bayi anda masih belum berfungsi dengan sempurna. Dia memerlukan tempoh beberapa minggu untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru setelah kira-kira 40 minggu berada di dalam kandungan.
Jangan terkejut jika kaki dan tangan bayi anda berasa sejuk semasa anda memegangnya. Hal ini berlaku kerana sistem peredaran darahnya belum sempurna. Warna kulit bayi anda juga akan berubah dari masa ke semasa. Ketahuilah bahawa kebanyakan kulit bayi baru lahir akan mengalami kekeringan dan pengelupasan. Ini adalah proses semula jadi dan terjadi kerana kandungan minyak yang dihasilkan oleh kulit bayi belum stabil.
Pada masa yang sama, bulu-bulu halus yang ada pada tubuh bayi anda akan gugur sedikit demi sedikit. Anda juga akan dapat melihat tompok-tompok merah seperti ruam pada hidung dan beberapa bahagian lain pada tubuh yang lain. Jangan bimbang kerana kesemua ini akan hilang apabila bayi anda semakin membesar.
Selain itu, pusat bayi baru lahir perlu dijaga rapi. Cuci tunggul pusat bayi anda dengan air dan pastikannya selalu bersih dan kering. Tali pusat tersebut akan tertanggal dengan sendirinya selepas lapan ke 12 hari kelahirannya. Adalah menjadi kebiasaan sekiranya tali pusat tersebut berdarah atau berbau sedikit.
Lazimnya, bayi baru lahir akan turun berat badannya selepas tiga atau empat hari dilahirkan. Walau bagaimanapun, bayi anda akan mendapat kembali berat badan asalnya selepas dua minggu dilahirkan. Pastikan juga bayi anda mendapat suntikan imunisasi seperti yang disyorkan doktor pediatrik untuk mengelakkan penyakit berbahaya. Ketika ini juga, doktor pediatrik anda akan merekodkan perkembangan fizikal dan mental bayi anda seperti berat badan, tinggi dan pergerakan yang sepatutnya bayi anda lakukan.
Kepada ibu bapa baru, setelah mengetahui perkara-perkara asas tentang bayi baru lahir anda, janganlah takut untuk memegang atau membelainya. Bayi amat suka disentuh dan dibelai. Namun, anda haruslah berhati-hati agar tidak mencederakannya. Jangan panik jika bayi anda menangis. Carilah punca mengapa dia menangis. Biasanya bayi menangis kerana dia lapar, lampinnya basah, dia rasa mengantuk atau rasa tidak selesa. Ketika bersama bayi, eloklah anda berbual-bual, senyum dan bermain-main dengannya untuk merangsang deria anak dan membangkitkan rasa kasih sayang antara anda berdua.
 
Tip Penjagaan Bayi Baru Lahir
  • Mandikan bayi anda dengan air suam untuk mengelakkan bayi sejuk.
  • Selepas mandi, lapkan tubuh bayi termasuk tali pusatnya hingga kering. Sapukan tali pusat bayi anda dengan ubat yang diberikan doktor.
  • Jika anda memakaikan bayi anda dengan lampin pakai buang, hendaklah sentiasa menukar lampin pakai buang bayi tersebut. Jangan biarkan bayi anda memakai lampin yang basah terlalu lama bagi mengelakkan bayi mengalami kerengsaan dan terkena ruam lampin.
  • Selepas itu, pakaikan bayi anda pakaian yang sesuai dan selesa.
  • Setiap kali selepas menyusukan bayi anda, sendawakannya bagi mengelakkan dia kembung atau muntah.
Sumber Majalah PA & MA

Search